Monday 3 March 2014

GENIUS BABY ON BOARD di harian metro

Alhamdulillah, pada 26 Februari 2014, cerita tentang 'playgroup' Genius Baby On Board telah tersiar di akhbar Harian Metro bertempat di GBOB Shah Alam. 

Tahniah kepada Teacher Watie dan Teacher Azie atas temu ramah ini. Semoga GBOB lebih mendapat tempat di hati ibu bapa & kanak2 genius di Malaysia ini, aamiin... :)

Permainan tradisional uji minda

Oleh Siti Zarinah Sahib
Sering kali kita melihat si kecil yang masih pelat berbicara namun sangat mahir mengendalikan gajet seperti komputer tablet dan telefon genggam. Situasi ini bukan hanya berlaku di rumah, namun dapat dilihat di mana saja sama ada di dalam kereta, kedai makan atau pusat beli-belah dengan harapan si kecil mampu ‘duduk’ diam tanpa mengganggu tugasan harian ibu dan bapa.
Kadang-kadang mereka berkomunikasi dengan peralatan sambil mengeluarkan suara disertakan mimik muka bergantung kepada jenis permainan. Tangan pula lancar meluncurkan aplikasi yang terdapat pada gajet. Ada pula ibu bapa memberikan aplikasi mewarna namun sebenarnya ia tidak banyak mendatangkan kesan positif terhadap perkembangan kemahiran motor mereka.
Dalam sesetengah aplikasi, mewarna sesuatu yang sangat mudah. Kanak-kanak hanya perlu memilih warna, sentuh skrin dan letakkan pada bahagian yang ingin diwarnakan kemudian tekan sekali lagi. Begitu mudah dan hasilnya sangat cantik kerana tiada warna terkeluar daripada garisan.
Tetapi dalam dunia nyata, perkara ini tidak berlaku. Melalui pensel warna, anak-anak belajar memegang dan menggenggam. Daripada kekok dan setakat menconteng sehingga menjadi kemas dan akhirnya menjadi lakaran huruf A hingga Z. Daripada warna comot, bersepah dan terkeluar daripada garisan, akhirnya ia menjadi cantik dan kemas.
Foto
BERMAIN dan bergaul dengan rakan menjadikan mereka lebih sopan dan mengikut arahan.
Selain meningkatkan kemahiran motor tangan dari semasa ke semasa, mereka menjadi lebih kreatif. Jika hal ini dibandingkan dengan gajet, adakah ia menepati kemahiran sebenar yang diperlukan dalam proses pendidikan kanak-kanak?
Menurut penyelaras program bayi dan kanak-kanak Genius Baby On Board Norhidawati Abdul Aziz, kanak-kanak perlu didedahkan dengan proses bermain. Ini kerana ia membolehkan mereka meneroka keadaan sekeliling, memahami sesuatu, membina fizikal, kognitif, emosi dan kemahiran sosial bersama orang lain.
Malangnya pada zaman teknologi ini banyak permainan yang tidak membantu perkembangan kognitif mereka sehingga timbul pelbagai isu seperti lambat bercakap, mengamuk, tidak pandai bersosial, tidak boleh berkongsi, gemar mengikut cara sendiri, bahasa badan dan mata yang tidak bagus serta tidak boleh berbahasa dengan baik.
“Ramai ibu bapa berang–gapan ia perkara biasa dan apabila anak-anak sudah mencapai usia sepatutnya, ia akan berubah. Namun sebenarnya keadaan ini berpunca daripada kurangnya pendedahan bermain daripada ibu bapa serta permainan yang langsung tidak membantu perkembangan motor mereka,” katanya.
Memberikan contoh, jelas Norhidawati, ibu bapa sering mengikut kemahuan anak-anak dalam pembelian barang permainan seperti anak patung. Namun selepas bosan, mereka meminta ibu bapa membelikan permainan lain pula dan begitulah seterusnya.
Keadaan yang sama turut berlaku apabila ibu bapa memberikan gajet sebagai satu bentuk permainan kepada anak-anak. Sama ada sedar atau tidak, peralatan teknologi ini membuatkan anak kurang bersosial, kurang bercakap, kurang bergaul dan berada dalam dunia mereka sendiri.
Cuba kenang kembali ketika peralatan canggih seperti ini masih belum wujud tetapi kanak-kanak masih gembira bermain dengan rakan sebaya. Bayangkan dengan semua permainan ketika penulis di zaman kanak-kanak seperti guli, batu seremban, congkak, baling tin, guli, teng-teng dan pondok-pondok, ia sebenarnya satu bentuk stimulasi tanpa disedari.
“Permainan batu seremban misalnya dengan lima ketul batu yang dilambung membolehkan kanak-kanak belajar mengawal situasi dan pergerakan tangan agar tidak terlalu tinggi atau rendah. Ketika lambungan, mereka juga belajar mengira sekali gus meningkatkan kemahiran motor kasar dan halus tanpa disedari.
“Lebih penting, permainan dalam kumpulan mewujudkan hubungan sosial yang baik. Mereka diajar berkongsi barang, menghargai kawan yang menang atau kalah,” katanya.
Untuk menjadi dewasa yang stabil, kanak-kanak perlu dididik mengenai emosi yang stabil. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk mengenal pasti perasaan orang lain dan meluahkan perasaan sendiri bagi mengelakkan ketegangan dan tekanan.
Begitu juga dengan setiap permainan dulu-dulu, semuanya memberikan faedah bukan saja terhadap perkembangan fizikal apabila dimainkan di tengah panas yang menjadikan tubuh lebih sihat tetapi meningkatkan hubungan sosial dan kognitif kanak-kanak.
Mereka belajar mengenai bentuk menerusi permainan pondok-pondok, jarak menerusi permainan baling tin dan guli serta matematik apabila bermain kedai-kedai bersama rakan yang lain.
Kebanyakan kanak-kanak bermain dengan pemantauan minimum daripada orang dewasa. Bagaimanapun, kanak-kanak perlu digalakkan bermain sesama mereka supaya mereka mengenal keperluan orang lain, bertolak ansur, bekerjasama dan membina nilai murni.
“Apakah faedah diperoleh daripada gajet? Setakat menyentuh skrin dengan sangat mudah, ia tidak begitu membantu kemahiran motor mereka. Memang betul dalam kebanyakan permainan sama ada berbentuk hiburan atau pendidikan, mereka dapat melakukan penyelesaian masalah menggunakan logik akal. Ini bermakna, mereka meneroka fungsi otak tetapi menggunakan lima biji batu yang disebutkan tadi, ia bukan setakat menggunakan akal, malah lebih daripada itu.
“Selain meningkatkan kemahiran motor, ia mendidik mereka bergaul dengan rakan sebaya. Pada masa sama mereka belajar bersabar dan menghargai perasaan orang lain,” jelasnya.
Kemahiran motor kasar dan kemahiran motor halus ini sudah tentu dapat dimantapkan dengan bermain.
Contoh kemahiran motor kasar diperoleh daripada aktiviti seperti melompat, berbasikal, naik turun tangga, memanjat, menari dan bergayut manakala motor halus pula membabitkan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Contoh aktiviti seperti menguntai manik, bermain pasir, menggunting, menguntai tali kasut dan menampal.
Kedua-dua kemahiran ini perlu seimbang supaya proses perkembangan kanak-kanak dalam keadaan baik.
Permainan rangsang otak
Di sekeliling terdapat pelbagai jenis permainan yang mampu mencanai fikiran serta menjana otak supaya berkembang dengan lebih pesat dan hebat. Namun ibu bapa harus tahu bentuk permainan yang mampu merangsang otak bayi dan kanak-kanak.
Misalnya permainan menyisihkan biji soya atau kekacang ke dalam bekas menggunakan jari atau penyepit yang diadakan di Genius Baby on Board mampu membangunkan kemahiran motor halus si kecil serta koordinasi mata dan tangan.
Dengan ukuran kecil, kanak-kanak perlu fokus menggunakan penyepit untuk mengambil biji soya satu persatu.
“Pada awalnya memang agak sukar namun selepas dilakukan berulang-kali, mereka dapat mengambil dengan mudah kerana apa saja yang dipegang menggunakan tangan akan terus melalui otak.
“Proses ini memberikan satu jaringan berkesan terhadap cara mereka berfikir. Bukan itu saja, kanak-kanak pada usia di bawah dua tahun biasanya tidak duduk diam, sebaliknya permainan ini membuatkan mereka duduk dengan cara yang betul. Ini sekali gus melatih mereka mengikut arahan dan berada dalam keadaan yang sepatutnya,” katanya.
Bermain juga memboleh–kan mereka membina pola dan skema sendiri. Mereka dapat bergerak bebas dengan kedua-dua kaki untuk meneroka keadaan sekeliling.
Permainan juga mendedahkan kepada aspek kognitif bagi membolehkan mereka menyelesaikan masalah seperti permainan blok, membina istana pasir, melukis dan menari yang membentuk daya tumpuan, ingatan dan inovasi.
Otak kanak-kanak pada usia tiga tahun pertama berkembang dua kali ganda daripada dewasa. Pada usia enam tahun ia berkurang kepada 50 peratus. Sebab itu ibu bapa harus menggunakan peluang untuk mengajar, membimbing dan bermain bersama anak-anak supaya waktu yang ada digunakan sebaiknya.
Ibu bapa sering beranggapan belajar hanya membabitkan proses mengenal huruf ABC dan 1,2,3 sedangkan proses belajar menerusi permainan mampu mendidik fizikal, mental dan emosi kanak-kanak.
Berdasarkan pengalaman, Norhidawati menjelaskan mengapa kanak-kanak yang terdedah dengan gajet dan permainan video tidak mengikut arahan dan mempunyai kemahiran sosial yang kurang. Ini kerana gajet memaparkan aplikasi dalam keadaan yang laju justeru, otak kanak-kanak juga diajar untuk berada dalam keadaan yang sama.
“Apabila ini berlaku dalam keadaan nyata, apabila ibu bapa memberikan arahan mereka sukar mengikutnya disebabkan sudah terbiasa dengan aplikasi yang sering dimainkan bersama gajet.
“Justeru, fikir dulu sebelum membeli permainan untuk anak-anak sebagai jaminan anak-anak mendapat faedah daripadanya. Selain itu, luangkan masa 10 minit setiap hari dengan duduk dan bermain bersama mereka kerana masa berkualiti ini menghasilkan sesuatu yang amat berkesan dalam tumbesaran mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment